Permainan Wayang Kulit merupakan salah sejenis hiburan tradisional yang amat popular di Kelantan pada masa lalu. Seni pesaka turun-temurun ini mempunyai keunikan dari segi persembahan dan alunan muzik pengiringnya. Kumpulan wayang kulit memerlukan sekurang-kurangnya lapan orang anggota, iaitu dalang, dalang muda, pemain gedut anak, pemain gedut ibu, pemain gendang anak dan ibu, pemain gedombak (2 orang), pemain canang, pemain kisi, peniup serunai, dan pemain gong (ketawak).
Biasanya, permainan ini dipersembahkan di sebuah bangsal khas yang dibina daripada batang pinang, buluh, dan atap pokok sagu. Sebidang kain layar dan lampu diperlukan untuk menayang patung-patung (watak) wayang kulit. Dalang adalah orang penting dalam kumpulan wayang kulit. Dialah ketua dan pengurus kumpulan. Dalang sememangnya seorang yang hebat kerana dia boleh membuat banyak suara untuk pelbagai watak. Cerita dalam wayang kulit diselitkan dengan lawak jenaka. Tidak lengkap persembahan wayang kulit, jika tidak ada watak jenaka. Pak Dogol, Wak Long, Samad, Diah, Said, Kadir, Eteng, dan lain-lain merupakan watak-watak jenaka wajib dalam persembahan wayang kulit. Persembahan wayang kulit tidak akan berseri dan meriah, jika watak-watak ini tidak diwujudkan. Permainan wayang kulit dikatakan bermula dari Sumatera. Namun, ada juga sejarah mencatatkan permainan wayang kulit dibawa ke Thailand dan mulai bertapak di negara itu. Kemudian berkembang ke negeri Kelantan. Pada masa kini, kumpulan wayang kulit sudah hampir pupus di Kelantan. Persembahannya juga jarang dianjurkan. Pihak penganjur tidak berminat lagi hendak mengadakan persembahan ini kerana banyak dihalangi masalah dan modal. Oleh sebab itu banyak kumpulan wayang kulit tidak lagi aktif. Namun, wayang kulit tetap hidup di sanubari pencinta seni kerana keunikannya.
Permainan ini merupakan satu tradisi yang akan diadakan semasa keraian, contohnya majlis perkahwinan. Permainan ini adalah Sepak Manggis. Permainan ini merupakan sejenis sukan tradisiwarisan masyarakat Kadazandusun Tindai dan Bajau. Permainan ini diwujudkan untuk memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan kedua-dua masyarakatan tersebut. Selain itu, permainan ini penuh dengan budaya yang telah diadunkan. Sebagai contohnya, dalam majlis perkahwinan, permainan ini akan dimain di satu kawasan lapang yang diadakan berhampiran dengan rumah pengantin. Permainan ini memerlukan satu tiang yang setinggi 25 kaki yang diperbuat daripada buluh. Di samping itu, satu kotak yang dihiasi berwarna-warni akan digantung pada titik tertinggi buluh tersebut dengan diisi penuh dengan hadiah bertunai lumayan yang disedia oleh pengantin lelaki. Selain itu, satu bola yang diperbuat daripada rotan akan ditendang oleh peserta untuk mencapai sasaran, iaitu kotak berwarna-warni itu. Permainan ini akan dimula oleh kanak-kanak, diikuti remaja dan seterusnya orang dewasa. Peserta boleh menendang berkali-kali sehingga mencapai sasaran. Oleh sebab kotak diikat tinggi, maka susah untuk mereka menepati target, jadi permainan ini akan dibuat sepanjang hari.